Sejarah bukan sekadar hafalan, tetapi asas pemikiran kritis
Gambar Mohd Fuad Hamid
SINTOK, 11 September 2025: Sejarah mengajar bahawa kemerdekaan bukanlah hadiah percuma, sebaliknya merupakan hasil daripada darah, air mata dan keringat generasi terdahulu.
Pembelajaran sejarah tidak seharusnya hanya tertumpu kepada hafalan fakta, tarikh, dan nama tokoh semata-mata. Sebaliknya, sejarah merupakan asas kepada pembentukan pemikiran kritis dan keinsafan dalam kalangan generasi muda.
Sehubungan itu, Pertandingan Kuiz Sejarah dan Patriotisme Peringkat Kebangsaan telah diadakan di EDC Universiti Utara Malaysia (UUM), bertujuan memberi pengalaman berharga serta menyampaikan ilmu yang jauh lebih bernilai kepada peserta.
Pengarah Pendidikan Negeri Kedah, Abdul Rahim Mat berkata, pertandingan kuiz ini menjadi wadah penting untuk mendidik peserta tentang kepentingan bersaing secara sihat.
Menurutnya, semua peserta telah memperoleh pengalaman yang amat berharga, sama ada menang atau tidak, kerana ilmu yang diperoleh adalah jauh lebih penting daripada hadiah yang dimenangi.
“Sebuah negara tidak akan maju jika rakyatnya leka, kurang tangkas bekerja, dan hanya bergantung kepada usaha orang lain.
Sejarah dunia mengajar kita bahawa bangsa yang rajin menuntut ilmu dan tekun berusaha akan menguasai tamadun,” katanya dalam teks ucapan perasmian penutup yang dibacakan oleh Ketua Penolong Pengarah Pembangunan Bakat Murid, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah, Zakaria Md Saad.
Pertandingan Kuiz Sejarah dan Patriotisme Peringkat Kebangsaan ini merupakan anjuran bersama Persatuan Sejarah Malaysia (PSM) dengan kerjasama Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP), Universiti Utara Malaysia; Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK); Jabatan Pendidikan Negeri Kedah; dan Lembaga Muzium Negeri Kedah.
Sementara itu, Pengerusi PSMCK, Dr. Ibrahim Bakar merakamkan penghargaan kepada Persatuan Sejarah Malaysia atas kepercayaan yang diberikan kepada cawangan Kedah untuk melaksanakan pertandingan ini pada tahun 2025.
Menurutnya, PSM telah berusaha mencapai objektif, visi, dan misi persatuan melalui pelbagai program seperti Pertandingan Menulis Esei Sejarah dan Pertandingan Kuiz Sejarah, di samping menjalankan penyelidikan serta pendokumentasian sejarah di Malaysia.
Menurutnya, pertandingan seumpama ini turut dilaksanakan di peringkat negeri setiap tahun. Galakan juga perlu diperluaskan ke peringkat daerah dan sekolah bagi menanam benih pendidikan sejarah dan semangat patriotisme dalam diri generasi muda sejak awal, sebagai persediaan menghadapi kehidupan bermasyarakat kelak.
“Dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk sekolah, kita berjaya memperluas liputan penyertaan murid. Bagi peringkat negeri Kedah, kita menerima penyertaan daripada 85 buah sekolah, melibatkan 340 murid dan 170 guru pembimbing.
“Saya yakin, penglibatan yang begitu ramai ini telah memberikan pengalaman yang berguna kepada semua pihak. Matlamat utama adalah memastikan proses pendidikan ini sampai kepada pelapis muda masyarakat kita,” katanya.
Dalam pertandingan kali ini, Sekolah Menengah Sains Alam Shah muncul juara dan membawa pulang wang tunai RM2,000 beserta hadiah iringan, tempat kedua dimenangi Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Selandar, Melaka dengan hadiah RM1,500, manakala tempat ketiga disandang Sekolah Menengah Sains Kota Tinggi, Johor yang menerima RM1,000 dan Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Bukit Mertajam, Pulau Pinang pula menerima RM500.
Turut hadir pada majlis penutup pertandingan ialah Pengerusi Eksekutif Persatuan Sejarah Malaysia, Dato’ Jumaat Dato’ Mohd Noor; Pengarah Muzium Negeri Kedah, Suhaidi Shukri; Ahli Jawatankuasa Eksekutif PSM; Ahli Jawatankuasa PSMCK; pegawai kanan JPN Kedah dan Muzium Negeri Kedah; serta pegawai kanan UUM.
Pertandingan Kuiz Sejarah dan Patriotisme Peringkat Kebangsaan 2025 ini berlangsung pada 10 hingga 11 September di EDC-UUM, dengan penyertaan 12 pasukan dari seluruh Malaysia, kecuali Kelantan dan Sarawak. Pertandingan ini telah dianjurkan sejak tahun 1980.