Amalan terbaik kerajaan tempatan Jepun–Malaysia diserlahkan di UUM
Berita dan gambar Dr. Low Kah Choon
SINTOK, 24 Disember 2025: Institut Kajian Kerajaan Tempatan (iLGS), Pusat Pengajian Kerajaan (SoG), Universiti Utara Malaysia (UUM), dengan kerjasama Japan Council of Local Authorities for International Relations (J.CLAIR) Singapura telah berjaya menganjurkan Local Government Talk: Best Practices of Local Governments in Malaysia and Japan di Dewan Seminar SMMTC, UUM.
Program ini melibatkan seramai 60 pelajar dan ahli akademik UUM, di samping pegawai kerajaan tempatan Jepun, penyelidik serta pengamal antarabangsa, sekali gus mencerminkan minat yang tinggi terhadap tadbir urus kerajaan tempatan berasaskan perbandingan dan amalan terbaik.
Pengarah Program, Dr. Low Kah Choon yang merupakan Pensyarah Kanan SoG dan Felo Penyelidik iLGS menekankan kepentingan strategik pertukaran ilmu antara akademia dan pengamal.

Beliau menegaskan bahawa program ini bukan sekadar sebuah forum akademik, sebaliknya berfungsi sebagai platform perkongsian amalan terbaik yang berimpak tinggi kepada dunia sebenar.
“Program ini direka sebagai satu wadah pertukaran ilmu yang bermakna antara Jepun dan Malaysia, yang mana amalan terbaik yang praktikal serta pandangan akademik dapat diterjemahkan kepada penyelesaian yang berimpak dan mampan bagi memperkukuh tadbir urus kerajaan tempatan,” katanya.
Beliau turut menekankan peranan universiti dalam menyokong penggubalan dasar berasaskan bukti serta pembangunan kapasiti pihak berkuasa tempatan.
Pengarah Eksekutif J.CLAIR Singapura, Takano Kazuki, telah menyampaikan pembentangan pengenalan berkaitan mandat dan fungsi J.CLAIR Singapura. Beliau menjelaskan bahawa J.CLAIR merupakan sebuah organisasi yang ditubuhkan secara bersama oleh kerajaan-kerajaan tempatan Jepun bagi menyokong kerjasama antarabangsa di peringkat tempatan, khususnya di rantau Asia Tenggara.
“J.CLAIR Singapura berperanan sebagai jambatan antara kerajaan tempatan Jepun dan rakan sejawatan mereka di rantau ini, dengan memudah cara kerjasama praktikal, pembelajaran dasar serta perkongsian jangka panjang yang berpaksikan kepada keperluan tempatan,” katanya.
Takano turut menegaskan bahawa peranan J.CLAIR bukan sahaja terhad kepada program pertukaran, malah merangkumi penyelidikan gunaan, dialog dasar dan sokongan teknikal bagi membolehkan pihak berkuasa tempatan saling belajar daripada pengalaman masing-masing.

Segmen pengamal program ini menampilkan empat kajian kes yang dibentangkan oleh Timbalan-timbalan Pengarah J.CLAIR Singapura, yang memperlihatkan amalan tersendiri kerajaan tempatan di Jepun. Fukuyama Koki berkongsi pengalaman Bandar Osaki di Prefektur Kagoshima, yang berjaya melaksanakan sistem pengasingan sisa berasaskan komuniti secara intensif, disokong oleh kerjasama erat antara penduduk, pihak berkuasa tempatan dan pengitar semula swasta. Pendekatan ini telah menghasilkan kadar kitar semula yang sangat tinggi serta pengurangan ketara terhadap sisa ke tapak pelupusan.
Yoshioka Yurie pula membentangkan Tokyo Green Biz, iaitu satu inisiatif pembangunan bandar hijau jangka panjang yang dirangka bagi memandu kelestarian alam sekitar Tokyo untuk tempoh 100 tahun akan datang, dengan mengintegrasikan infrastruktur hijau, daya tahan iklim dan kebolehdiaman bandar. Ueda Yoshimi pula memperkenalkan Region Management Organizations (RMOs) melalui kajian kes Bandar Uozu, yang menunjukkan bagaimana organisasi yang diterajui oleh penduduk dapat melengkapkan fungsi perbandaran dengan memperkukuh perpaduan sosial, kesiapsiagaan bencana dan aktiviti ekonomi tempatan.
Kimura Akinobu menutup segmen Jepun dengan menghuraikan strategi Prefektur Yamaguchi dalam menggalakkan migrasi luar bandar dan pemerkasaan wilayah melalui insentif penempatan semula, kemudahan kerja jarak jauh, perumahan percubaan serta pusat sokongan migran. Satu sesi perbincangan panel, yang dikendalikan oleh Dr Muhammad Hafiz Abd Razak, menyusul, dengan sesi soal jawab antara peserta dan panel dari J.CLAIR Singapura.
Bagi melengkapi perspektif pengamal dari Jepun, tiga orang ahli akademik dari Pusat Pengajian Kerajaan, UUM, telah membentangkan dapatan penyelidikan yang berasaskan konteks kerajaan tempatan di Malaysia berserta dengan sesi soal jawab bagi setiap pembentang.

Dr. Low Kah Choon membincangkan pelaksanaan serta keberkesanan latihan dalam kalangan kakitangan Majlis Daerah Cameron Highlands, dengan menekankan keperluan latihan yang lebih bersasar dan khusus mengikut fungsi jabatan. Dr. Nor Suzylah Sohaimi mengupas isu kemiskinan bandar dan kemampuan perumahan, dengan memberi tumpuan kepada intervensi kerajaan tempatan bagi komuniti B40, termasuk penyediaan perumahan sewa mampu milik serta instrumen dasar ke arah jaminan perumahan jangka panjang. Dr. Muhammad Hafiz Abd Razak pula menganalisis aspek pemuliharaan seni bina dan guna semula adaptif berasaskan pelancongan terhadap gudang bersejarah di Melaka, dengan menekankan peranan dasar kerajaan tempatan dalam mengimbangi pemeliharaan warisan, pembangunan ekonomi dan tekanan pelancongan.
Pihak penganjur turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Penyelidik Kanan J.CLAIR Singapura, Siau Min Yang yang memainkan peranan utama dalam merealisasikan program ini melalui penyelarasan rapat bersama Sekretariat Program UUM. Usaha beliau dalam memudah cara komunikasi, menyelaras penceramah serta menyepadukan objektif program telah menjadi faktor penting dalam memastikan kelancaran pelaksanaan dan kualiti kandungan program. Kerjasama ini disifatkan sebagai contoh perkongsian strategik di sebalik tabir yang berjaya menterjemahkan kerjasama antarabangsa kepada penglibatan akademik dan dasar yang konkrit.
Secara keseluruhannya, program Local Government Talk ini telah memperkukuh kerjasama antara akademia dan pengamal antara Jepun dan Malaysia, serta menyediakan peserta dengan pandangan yang praktikal dan boleh dilaksanakan ke arah pendekatan tadbir urus kerajaan tempatan yang inovatif, berteraskan rakyat dan mampan.
Penganjur menyatakan harapan agar idea dan amalan terbaik yang dikongsikan dapat dimanfaatkan dalam penyelidikan, pengajaran, projek perintis serta inisiatif dasar oleh pihak berkuasa tempatan di Malaysia, di samping membuka ruang kepada kerjasama berterusan dengan J.CLAIR Singapura.



