Off Campus

IPIZ dan LZNK perkukuh sinergi melalui Bengkel Pemerkasaan Pasukan dan Pelan Strategik 2026

Berita dan gambar Azimah Ahmad

SUNGAI PETANI, 4 Februari 2026: Institut Penyelidikan dan Inovasi Zakat (IPIZ), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan Bengkel Pemerkasaan Pasukan dan Pelan Strategik IPIZ bersama Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) 2026 yang telah berlangsung dari 29 hingga 31 Januari lalu di Swiss Avenue Hotel, Sungai Petani.

Bengkel ini melibatkan penyertaan Pengurusan IPIZ, Felo-felo IPIZ serta wakil daripada LZNK yang terdiri daripada Dr. Hafizah Zainal, Mohd Shauqi Mat Saad dan Mohd Shazril Hanis Salmi daripada Pusat Kajian Pengantarabangsaan Zakat serta Divisyen Pendidikan LZNK.

Selain itu, bengkel ini turut menjemput wakil Dekan Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), Pengarah Pusat Zakat dan Wakaf UUM serta Prof. Madya Dr. Zuryati Mohamed Yusoff (CAEP).

Program bermula dengan sesi pembukaan dan taklimat oleh Pengarah IPIZ, Prof. Dr. Abdul Halim Abdul Majid yang menekankan kepentingan penyelarasan strategi antara institusi akademik dan agensi zakat bagi memastikan impak penyelidikan dapat dimanfaatkan secara optimum oleh masyarakat.

Menurutnya, bengkel ini bukan sahaja berfungsi sebagai platform perancangan strategik, malah memperkukuh kesepaduan pasukan dalam merealisasikan agenda zakat yang lebih inklusif dan lestari.

“IPIZ komited untuk memastikan setiap penyelidikan yang dijalankan benar-benar memberi nilai tambah kepada pengurusan zakat dan kesejahteraan ummah,” katanya.

Pada sesi malam, Dr. Hafizah menyampaikan pencerapan tema-tema penyelidikan dan perundingan LZNK–IPIZ 2026 berdasarkan Kerangka Pelan Strategik LZNK 2026 – 2030.

Hari kedua bengkel menyaksikan perbincangan hala tuju penyelidikan dan perundingan LZNK-IPIZ 2026 di mana peserta dibahagikan kepada empat kumpulan bagi membincangkan potensi penyelidikan dan perundingan selari dengan 7 teras utama dalam Kerangka Pelan Strategik LZNK 2026 – 2030 yang mencerminkan nilai Yusuffiyah iaitu kebijaksanaan, persediaan jangka panjang, ketahanan dalam cabaran dan keyakinan membina masa depan.

Perbincangan ini turut memberi fokus kepada peranan IPIZ dalam menyelaras sasaran dan perancangan strategik tahun 2026 agar dapat menyokong keperluan penyelidikan zakat di Negeri Kedah secara berkesan.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button