Off Campus

UUM rangkul dua anugerah di Busking Challenge AKUSTIK MAKUM 2026

Gambar Nur Imilya Syahira Mohd Nazri

BATU PAHAT, 21 JUN 2026: Kumpulan SOLACE dari Universiti Utara Malaysia (UUM) mencipta kejayaan membanggakan apabila merangkul dua anugerah berprestij dalam Pertandingan Busking Challenge AKUSTIK Majlis Kebudayaan Universiti-Universiti Malaysia (MAKUM) 2026 Peringkat Kebangsaan yang berlangsung di Dataran Astaka Shahbandar, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Pertandingan yang menghimpunkan 17 kumpulan mewakili 14 buah Universiti Awam (UA) dari seluruh negara itu menyaksikan persaingan sengit dalam kalangan peserta yang menampilkan bakat dan kreativiti persembahan muzik akustik terbaik masing-masing.

Bagi kontinjen UUM, kejayaan manis diraih menerusi kumpulan SOLACE yang bernaung di bawah Kelab Muzik, Pusat Budaya dan Seni (PBS) UUM apabila berjaya membawa pulang Anugerah Khas Juri serta Anugerah Vokalis Terbaik.

Anugerah Vokalis Terbaik telah disandang oleh Nur Khairunnisa Duan yang berjaya memukau barisan juri profesional menerusi lontaran vokal yang mantap, kawalan suara yang baik serta persembahan yang penuh penghayatan, sekali gus menyerlahkan bakat seni pelajar UUM di peringkat kebangsaan.

Selain itu, SOLACE turut menerima Anugerah Khas Juri sebagai pengiktirafan terhadap keunikan susunan muzik, kreativiti persembahan dan kualiti keseluruhan yang dipamerkan sepanjang pertandingan.

Sementara itu, gelaran juara keseluruhan pertandingan yang dianjurkan oleh UTHM tersebut telah dimenangi oleh kumpulan dari Universiti Malaysia Perlis (UniMAP). Tempat kedua menjadi milik Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), manakala tuan rumah, UTHM, melengkapkan kedudukan podium di tempat ketiga.

Program yang berlangsung selama dua hari bermula 13 Jun itu bukan sahaja menjadi platform persaingan seni muzik akustik yang sihat, malah berperanan sebagai wadah memperkasakan bakat seni pelajar serta menggalakkan pertukaran budaya dan kreativiti antara institusi pengajian tinggi selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Kejayaan ini membuktikan komitmen berterusan UUM dalam melahirkan pelajar yang holistik dan seimbang melalui penglibatan aktif dalam bidang kebudayaan dan kesenian. – Fahmiddin Azman

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button