Education

JAKIM tawar UUM anjur J-KIS Zon Utara, perkasa agenda kesedaran sosial pelajar

Gambar Pusat Islam UUM

SINTOK, 5 April 2026: Pusat Islam Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menerima kunjungan rasmi daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang terdiri daripada empat kakitangan daripada Cawangan Pembangunan Sosial & Komuniti, dalam usaha memperkukuhkan jalinan kerjasama strategik berkaitan pembangunan sosial dalam kalangan pelajar.

Delegasi yang diketuai oleh Ketua Penolong Pengarah, Noor Haliza Ali turut disertai oleh Dr. Sa’adi Awang, Ahmad Tarmizi Mahmud dan Khairi Yusoff.

Ketibaan rombongan telah disambut mesra oleh pihak Pusat Islam sebelum dibawa melawat ke Anjung Tamu UUM bagi mendapatkan gambaran menyeluruh mengenai latar belakang, pencapaian serta peranan UUM sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi terkemuka.

Sesi lawatan tersebut diserikan dengan penerangan komprehensif oleh pegawai Anjung Tamu yang berjaya menarik minat serta memberikan kefahaman yang jelas kepada delegasi berkaitan ekosistem pendidikan dan pembangunan pelajar di UUM.

Kunjungan ini diteruskan dengan penyertaan delegasi dalam Mesyuarat Program Jerayawara Kesedaran Isu Sosial (J-KIS) Peringkat Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Zon Utara Tahun 2026 yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Utama Kompleks Pusat Islam UUM. Mesyuarat tersebut telah dipengerusikan oleh Dr. Mazli Mutazam selaku Dekan Hal Ehwal Pelajar UUM.

Dalam mesyuarat berkenaan, pihak JAKIM telah menyatakan hasrat untuk menawarkan UUM sebagai tuan rumah bagi pelaksanaan program J-KIS peringkat Zon Utara dengan pembiayaan penuh yang dianggarkan hampir mencecah RM70,000. Tawaran ini mencerminkan keyakinan tinggi JAKIM terhadap keupayaan UUM dalam menganjurkan program berskala besar yang berimpak tinggi kepada pembangunan sahsiah pelajar.

Dr. Mazli berkata, UUM menyambut baik dan berbesar hati atas kepercayaan yang diberikan, selari dengan komitmen universiti dalam memperkasa agenda pembangunan sosial dan kesejahteraan warga kampus.

Menurutnya, pelaksanaan program J-KIS ini dijangka memberi nilai tambah signifikan melalui pendekatan strategik yang merangkumi usaha memberikan pendedahan dan penyampaian maklumat yang tepat berkaitan isu-isu sosial semasa dalam kalangan pelajar, di samping memperkukuh kepekaan serta tanggungjawab sosial warga kampus termasuk dalam menangani isu-isu sensitif seperti LGBT dalam kerangka pendidikan dan pencegahan.

Program ini juga berperanan sebagai platform dialog yang konstruktif antara pelajar, pakar serta agensi berkaitan, selain menggalakkan pembudayaan gaya hidup sihat yang menyeluruh meliputi aspek fizikal, mental, emosi dan sosial.

“Saya menaruh harapan tinggi agar penganjuran program ini dapat dilaksanakan secara holistik dan berimpak besar kepada pembangunan sahsiah pelajar.

“Program ini diharapkan bukan sahaja berfungsi sebagai medium pendedahan yang berkesan, malah mampu membentuk pelajar yang lebih cakna, berdaya fikir dan bertanggungjawab terhadap isu-isu sosial semasa,” katanya. “

Dalam masa yang sama, Dr. Mazli berharap agar sinergi strategik antara pihak universiti dan JAKIM dapat terus diperkukuhkan bagi melahirkan ekosistem kampus yang sejahtera, inklusif dan berteraskan nilai-nilai murni.

Secara keseluruhannya, kunjungan ini menjadi manifestasi komitmen berterusan antara JAKIM dan UUM dalam memperkukuh sinergi strategik demi melahirkan generasi pelajar yang berilmu, berakhlak dan bertanggungjawab terhadap kesejahteraan masyarakat. – Nor Azlinah Zaini

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button