Education

SPAKS SAPSP perkukuh kompetensi kakitangan JKM melalui program SPAKS 2026

Berita dan Gambar : Prof. Madya Dr. Abdul Razak Abd Manaf

KUALA LUMPUR, 14 Mei 2026: Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial (SAPSP) terus memperkukuh usaha pembangunan profesional pegawai dan kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menerusi pelaksanaan Kursus Sijil Profesional Asas Kerja Sosial (SPAKS) hasil kerjasama strategik bersama Institut Sosial Malaysia.

Kerjasama antara SAPSP dan ISM ini bermula melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian (MoA) yang dimeterai pada tahun 2023 dan mula dilaksanakan secara rasmi pada tahun 2024.

Kerjasama tersebut memberi fokus kepada pembangunan latihan profesional, peningkatan kapasiti sumber manusia serta pengukuhan kompetensi pengamal kerja sosial di Malaysia khususnya dalam kalangan pegawai dan kakitangan JKM.

Program SPAKS merupakan inisiatif penting dalam memperkasakan pengamal kerja sosial barisan hadapan (frontline social workers) yang mengendalikan pelbagai isu dan cabaran psikososial masyarakat. Pelaksanaan program ini juga dilihat selari dengan persediaan ke arah keperluan pendaftaran sebagai Pekerja Sosial Berdaftar (RSW) dan Pekerja Sosial Berdaftar Bersekutu (RASW) apabila Rang Undang-Undang Profesion Kerja Sosial diluluskan kelak.

Dekan Prof Madya Dr. Zarina Mat Saad berkata, kerjasama strategik antara SAPSP, ISM dan JKM merupakan satu langkah penting dalam memperkukuh pembangunan profesional bidang kerja sosial di Malaysia secara lebih sistematik dan berterusan.

Menurut beliau, program seperti SPAKS bukan sahaja membantu meningkatkan tahap kompetensi pegawai dan kakitangan JKM, malah turut memperkukuh standard amalan kerja sosial yang lebih profesional, beretika dan berfokus kepada kesejahteraan masyarakat.

“Program Kerja Sosial SAPSP sentiasa komited memainkan peranan sebagai rakan akademik strategik dalam membantu mempertingkatkan pengetahuan, kemahiran dan kecekapan pengamal kerja sosial khususnya pegawai kebajikan yang berhadapan secara langsung dengan pelbagai isu masyarakat. Melalui gabungan elemen teori, latihan praktikal dan penyeliaan profesional, peserta bukan sahaja memperoleh pendedahan akademik, tetapi juga pengalaman praktikal yang relevan dengan realiti tugasan di lapangan,” katanya.

Beliau turut menambah bahawa usaha berterusan ini selaras dengan aspirasi negara untuk melahirkan lebih ramai pengamal kerja sosial yang kompeten, responsif dan bersedia memenuhi keperluan masyarakat yang semakin kompleks pada masa hadapan.

Memasuki tahun ketiga pelaksanaannya pada tahun 2026, program ini semakin mendapat sambutan dan pengiktirafan sebagai platform pembangunan profesional yang berimpak tinggi. Berdasarkan pelaksanaan tahun sebelumnya, program SPAKS berjaya melibatkan pegawai dan kakitangan skim perkhidmatan sosial daripada pelbagai negeri dan agensi berkaitan yang menjalankan fungsi kebajikan dan perlindungan sosial.

Bagi tahun 2026, sebanyak lima kohort akan dilaksanakan dengan penglibatan seramai 30 peserta bagi setiap kohort. Program ini memberi penekanan kepada pengukuhan pengetahuan asas kerja sosial, teori dan model intervensi, pengendalian kes, etika dan nilai profesional, kemahiran komunikasi, kepimpinan serta praktis kerja sosial bersama individu, keluarga, kelompok dan komuniti. Struktur kurikulum SPAKS dilaksanakan secara intensif selama 11 hari kuliah melibatkan sesi kuliah teori, simulasi, perbincangan kes, aktiviti pembelajaran interaktif dan ujian penilaian tahap penguasaan kerja sosial.

Selepas tamat sesi kuliah, peserta diwajibkan menjalani latihan praktikum selama satu bulan atau bersamaan 160 jam di tempat bertugas masing-masing dengan pemantauan dan penyeliaan pensyarah daripada Program Kerja Sosial SAPSP, Universiti Utara Malaysia. Sepanjang tempoh praktikum, peserta perlu melaksanakan pengendalian kes secara langsung bersama klien serta menyediakan buku log, laporan praktikum dan pembentangan kes sebagai sebahagian daripada penilaian program.

Sebagai penilaian akhir, setiap peserta perlu membentangkan hasil latihan industri dan pengalaman praktikum di hadapan panel penilai. Penilaian ini bertujuan mengukur tahap kompetensi peserta dalam mengaplikasikan teori dan kemahiran kerja sosial dalam konteks tugasan sebenar di lapangan.

Laporan pelaksanaan SPAKS turut menunjukkan impak positif program terhadap pembangunan peserta, khususnya dari aspek pengetahuan, kemahiran dan keupayaan pengendalian kes. Dapatan ujian pra dan pasca menunjukkan peningkatan ketara dalam tahap kompetensi peserta selepas mengikuti kursus dan menjalani praktikum. Peserta juga berpandangan bahawa program ini sangat membantu dalam meningkatkan keyakinan, profesionalisme dan keberkesanan pengendalian kes dalam tugasan harian mereka.

Pihak SAPSP berharap program SPAKS akan terus menjadi medium pembangunan profesional yang mampan dalam melahirkan pegawai kebajikan yang lebih kompeten, beretika, berkemahiran dan responsif terhadap keperluan masyarakat. Kerjasama strategik antara SAPSP, ISM dan JKM ini juga diharapkan dapat menjadi model latihan profesional kerja sosial yang berterusan selaras dengan perkembangan amalan kerja sosial di peringkat nasional dan antarabangsa.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button