Futsal padang persahabatan erat hubungan pelajar SULAM STHEM dan Maahad Tarbiyah Islamiah Derang
Gambar STHEM
POKOK SENA, 21 Mei 2026: Program Futsal Padang Persahabatan yang berlangsung di Maahad Tarbiyah Islamiah Derang pada Sabtu lalu berjaya menghimpunkan seramai 15 pelajar maahad tahfiz bersama lapan pelajar Pusat Pengajian Pengurusan Hospitaliti, Pelancongan dan Acara (STHEM), Universiti Utara Malaysia (UUM) menerusi program Service-Learning Malaysia-University for Society (SULAM).
Program yang dianjurkan oleh Muhammad Ali Zainal Abidin Ahmad Fahmi diadakan sebagai salah satu inisiatif untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara pelajar SULAM STHEM dan pelajar maahad tahfiz melalui aktiviti sukan yang sihat dan bermanfaat.
Muhammad Ali berkata, program ini juga bertujuan untuk memupuk nilai disiplin, kerjasama berpasukan serta meningkatkan semangat kesukanan dalam kalangan peserta yang terlibat.

Antara aktiviti utama yang dijalankan sepanjang program ini adalah perlawanan persahabatan bola sepak yang berlangsung dengan meriah dan penuh semangat. Walaupun perlawanan tersebut diadakan secara santai, peserta tetap menunjukkan komitmen yang tinggi serta semangat berpasukan yang baik sepanjang permainan berlangsung.
Program ini bukan sahaja memberi peluang kepada peserta untuk melakukan aktiviti riadah, malah turut menjadi medium untuk membina hubungan yang lebih rapat antara kedua-dua pihak. Melalui aktiviti yang dijalankan, peserta dapat berinteraksi dengan lebih baik serta memupuk nilai hormat-menghormati dan toleransi antara satu sama lain.
Pengarah SULAM A252, Muhammad Azril Abdul Rahim berkata, program seperti ini mampu memberi kesan positif kepada pembangunan sahsiah dan hubungan sosial pelajar.
“Bola sepak bukan sekadar tentang menang atau kalah, tetapi tentang semangat berpasukan, disiplin, dan usaha yang menyatukan kita semua. Hari ini kita turun ke padang bukan hanya untuk bermain, tetapi untuk membina persahabatan, menunjukkan semangat kesukanan, dan mencipta kenangan yang bermakna,” katanya.
Muhammad Azril berharap agar program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang kerana aktiviti berasaskan sukan mampu menjadi platform terbaik dalam mengukuhkan hubungan persahabatan serta melahirkan pelajar yang aktif, berdisiplin dan mempunyai semangat kerjasama yang tinggi.

Sementara itu, Pensyarah SULAM A252, Dr. Siti Aishah Edros turut menyokong penganjuran program seperti ini kerana aktiviti berasaskan komuniti dan kesukanan mampu memberi pengalaman pembelajaran yang lebih bermakna kepada para pelajar.
Menurutnya, penglibatan pelajar dalam program sebegini dapat membantu meningkatkan kemahiran komunikasi, kepimpinan serta semangat kerjasama dalam situasi sebenar di luar bilik kuliah.
“Program seperti ini bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan antara pelajar, malah turut membantu membentuk keyakinan diri, disiplin dan nilai kepimpinan yang baik dalam kalangan pelajar,” katanya.
Program Futsal Padang Persahabatan ini berjaya mencapai objektif yang telah ditetapkan dan memberikan pengalaman yang bermakna kepada semua peserta yang terlibat. – Maisara Mohd Zambri



