Bengkel SKM-PPT Kohort 1: Pengurusan TVET UUM & Persatuan Pekerja-Pekerja Kemahiran Malaysia Jana RM61,128.00
Berita dan gambar oleh: Siti Maisara Mohd Rozainee
KUALA LUMPUR, 22 Mei 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui Pengurusan TVET UUM dengan kerjasama Persatuan Pekerja-Pekerja Kemahiran Malaysia berjaya menjana pendapatan sebanyak RM61,128.00 menerusi penganjuran sulung Bengkel Persijilan Kemahiran Malaysia melalui kaedah Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (SKM-PPT) yang berlangsung di UUM Kampus Kuala Lumpur pada 21 hingga 22 Mei 2026.

Bengkel selama dua hari itu disertai oleh 11 peserta daripada pelbagai bidang Kemahiran yang mengikuti pensijilan SKM Tahap Tiga dan SKM Tahap Empat.
Program tersebut bertujuan memberi pendedahan serta bimbingan kepada peserta mengenai laluan pensijilan kemahiran berdasarkan pengalaman kerja dan kompetensi sedia ada.
Program berkenaan diterajui oleh Pengarah Pengurusan TVET UUM, Prof. Madya Ts. Dr. Hj. Shanusi bin Hj. Ahmad bersama Timbalan Pengarah Pengurusan TVET UUM, En. Kamal bin Khalid selaku penyelaras program, serta dibantu oleh Dr. Norwahida binti Yaakub dan Dr. Amran bin Ahmad.

Kelancaran program turut dibantu oleh Ahli Jawatankuasa Pengurusan TVET UUM iaitu Hanani Adnan, Siti Anum Jab dan Pegawai Tugas Tugas Khas Pengurusan TVET UUM (MyStep), Siti Maisara Mohd Rozainee.
Bengkel itu turut dikendalikan oleh Dr. Rosman Bahri, pakar dalam bidang TVET selaku penceramah utama yang berkongsi penerangan berkaitan proses pensijilan, penyediaan dokumentasi serta penilaian kompetensi peserta.

Selain itu, terdapat juga peserta yang menerima pembiayaan pendidikan daripada Bank Simpanan Nasional (BSN) bagi mengikuti program tersebut, sekali gus membuka peluang lebih luas kepada individu untuk mendapatkan pengiktirafan kemahiran secara formal.
Penganjuran bengkel ini dilihat sebagai usaha berterusan dalam memperkasa agenda TVET negara serta meningkatkan profesionalisme dan kebolehpasaran tenaga kerja tempatan.



