Kem KAHFI 2026 lahirkan pemimpin pelajar berteraskan ilmu dan adab
Gambar Mohd Fuad Hamid
SIK, 5 Mei 2026: Kem Kepimpinan Organisasi Pelajar (Kluster Kerohanian) Inspirasi Surah Al-Kahfi (KAHFI) 2026 melabuhkan tirainya yang berlangsung penuh bermakna di KEDA Resort, Kampung Bendang Man pada Ahad lalu.
Program anjuran Pusat Islam ini menghimpunkan barisan 60 pemimpin pelajar daripada Eksekutif Majlis Perwakilan Pelajar, Inapan-Inapan Siswa, kelab/persatuan pelajar serta Sekretariat Sahabat Masjid dan Surau dengan tujuan memperkukuhkan kefahaman nilai kepimpinan berteraskan Surah Al-Kahfi, di samping membina jati diri, daya saing dan gerak kerja berkumpulan serta kemahiran organisasi dalam kalangan peserta.

Majlis penutup telah disempurnakan oleh Pengerusi KEDA Resort & Holidays Sdn Bhd., Dato’ Muhamad Khizri Abu Kasim yang menzahirkan penghargaan atas pemilihan lokasi tersebut sebagai tuan rumah program.
Beliau menegaskan bahawa kem ini telah berjaya membentuk keseimbangan antara pembangunan ilmu dan sahsiah peserta.
“Program ini bukan sahaja memberi kesan kepada pembangunan ilmu khususnya kefahaman Surah Al-Kahfi, tetapi juga membentuk sahsiah dan keperibadian yang unggul sebagai pelajar,” katanya.

Beliau turut memuji disiplin serta semangat kerjasama yang ditunjukkan oleh peserta sepanjang program berlangsung, selain berharap agar nilai yang diperoleh dapat diterjemahkan dalam kepimpinan pelajar di kampus.
“Semoga segala ilmu, pengalaman dan nilai yang diperoleh sepanjang kem ini dapat dimanfaatkan dalam memimpin organisasi masing-masing, selari dengan semangat ‘Menjulang Ilmu, Mengakar Adab’,” katanya.
Sementara itu, Naib Canselor, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed dalam ucapan aluannya menyifatkan kem ini sebagai platform strategik dalam melahirkan pemimpin pelajar yang bukan sahaja kompeten, tetapi juga berteraskan nilai kerohanian yang kukuh.

“Kem ini menjadi medan penting untuk menyatukan pemimpin pelajar dalam satu acuan kepimpinan yang berasaskan Al-Quran, khususnya melalui penghayatan Surah Al-Kahfi sebagai panduan menghadapi cabaran kepimpinan semasa,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat, termasuk jurulatih profesional Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), fasilitator, urus setia serta rakan strategik yang menjayakan program ini.
Seorang peserta kem, Ahmad Asysyifa’ Abd Rahim menyifatkan penyertaannya sebagai satu pengalaman yang sangat bermakna dan memberi impak besar terhadap cara beliau melihat peranan sebagai pemimpin pelajar.

“Kem ini membuka perspektif baharu kepada saya tentang kepimpinan yang bukan sekadar menjadi ketua di dalam sesebuah organisasi, tetapi memimpin dengan nilai, berhikmah dan kefahaman agama berteraskan Al-Quran dan Sunnah,” katanya.
Sepanjang kem ini selama tiga hari dua malam, peserta telah mengikuti pelbagai pengisian termasuk slot pembangunan generasi dari perspektif Surah Al-Kahfi, komunikasi berkesan, latihan kepimpinan dan kepengikutan, dinamika dakwah, aktiviti berkumpulan serta aktiviti khidmat masyarakat.

Program khidmat masyarakat tersebut melibatkan peserta melaksanakan tiga aktiviti utama iaitu pembersihan surau dan dewan orang ramai di Kampung KEDA serta pembersihan sungai di Kampung Bendang Man sebagai usaha memupuk semangat kesukarelawanan dan keprihatinan terhadap komuniti setempat.
Majlis berakhir dengan penuh simbolik apabila perasmi secara rasmi mengumumkan penutupan kem, diiringi harapan agar ilmu yang diperoleh akan terus menjadi pemangkin kepada pembentukan kepimpinan pelajar yang berintegriti dan berdaya saing. – Muhammad Kamil Yazid



