Lawatan strategik ISSAD ke Institut Darul Ridzuan buka laluan kerjasama kelestarian dan ESG
Berita dan gambar Prof. Madya Dr. Hazeline Ayoup
IPOH, 5 Mei 2026: Institut for Strategic and Sustainable Accounting Development (ISSAD), Universiti Utara Malaysia telah mengadakan lawatan kolaborasi strategik ke Institut Darul Ridzuan (IDR) bagi meneroka peluang kerjasama dalam bidang penyelidikan, perundingan dan pembangunan kapasiti khususnya berkaitan kelestarian, ESG dan pembangunan sosioekonomi negeri Perak.

Pengarah ISSAD, Prof. Madya Dr. Hazeline Ayoup berkata, lawatan ini bertujuan untuk memperkukuhkan jaringan strategik antara institusi akademik dan agensi pemikir negeri dalam usaha menyokong agenda pembangunan mampan serta meningkatkan impak penyelidikan kepada masyarakat dan sektor awam.
Ketua Pegawai Eksekutif IDR, Azizul Hakim Abd Karim berkata, lawatan kolaborasi ini dilihat sebagai satu platform penting untuk menggabungkan kepakaran akademik universiti dengan keperluan dasar dan pembangunan negeri yang diterajui oleh IDR, selari dengan keperluan semasa yang menuntut integrasi antara penyelidikan berimpak tinggi dan pelaksanaan dasar yang praktikal.
Seiring dengan itu, beberapa peluang kolaborasi strategik telah dikenal pasti termasuk pembangunan model pelaporan kelestarian khusus untuk agensi kerajaan negeri Perak, pelaksanaan program latihan dan pembangunan kapasiti dalam bidang ESG, SDG dan pengurusan karbon, serta pelaksanaan penyelidikan bersama yang memberi tumpuan kepada isu-isu kritikal seperti kesejahteraan rakyat dan kos sara hidup.

Kerjasama ini juga membuka ruang kepada perundingan polisi berasaskan data serta penganjuran program ilmiah seperti seminar dan persidangan bagi memperkukuh ekosistem kelestarian di peringkat negeri dan nasional.
Lawatan ini diakhiri dengan sesi perbincangan dua hala yang konstruktif dan komitmen kedua-dua pihak untuk memformalkan kerjasama melalui inisiatif bersama dalam masa terdekat.
Kolaborasi antara ISSAD dan IDR dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan model kelestarian sektor awam yang lebih tersusun, sistematik dan berimpak tinggi, sekali gus meletakkan negeri Perak sebagai peneraju dalam amalan kelestarian di Malaysia.



