In Campus

Kerjasama PACE dan UUM LEADS meriahkan bulan kebangsaan

SINTOK – Setiap kali munculnya bulan kebangsaan, pelbagai aktiviti berbentuk patriotisma diadakan oleh rakyat Malaysia begitu juga Pusat Pendidikan Profesional dan Lanjutan (PACE) bersama UUM LEADS yang menganjurkan Majlis Bacaan Yasin dan Ceramah Merdeka, baru-baru ini.

Surah Yasin dibaca bagi mendoakan kepada para pejuang yang telah gugur syahid memerdekaan negara dan memohon keredaan Allah agar segala urusan warga PACE dan UUM LEADS sentiasa dipermudahkan bagi mencapai misi dan visi yang ditetapkan.

Sambutan Hari Kemerdekaan di PACE bukan sahaja menyemarakkan semangat cinta negara, tetapi juga meningkatkan ketakwaan kepada Allah melalui Ceramah Merdeka yang bertajuk “Jiwa Merdeka, Pahala Berganda” oleh Prof. Madya Dr. Mohd Nizho Abdul Rahman dari Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah.

Pengisian berkisar tentang pentingnya sebagai umat Islam untuk memerdekakan jiwa dari makhluk atau apa sahaja unsur selain mentauhidkan diri kepada Allah.

“Sentiasa berbuat baik kepada ibu bapa, bersedekah, sampaikan ilmu yang bermanfaat dan amal kebaikan lain.

“Semuanya adalah pelaburan pahala untuk saham akhirat yang akan dikurniakan kesenangan dan kelapangan jiwa kepada sesiapa yang ikhlas melakukannya,” katanya.

Jelasnya, kerja dengan amanah adalah ibadah termasuk juga mencintai negara.

“Sebagai warga negara yang bertanggungjawab, adalah menjadi kewajipan kita untuk menjaga maruah dan kedaulatan negara selaras dengan tuntutan agama,” pesannya.

Manakala Pengurus Besar UUM LEADS, Prof. Madya Dr Sobri Don merakamkan ucapan terima kasih kepada penceramah, PACE dan semua yang hadir menjayakan program sempena bulan kebangsaan ini.

“Saya teruja menyaksikan perhimpunan semua warga PACE dan UUM LEADS bersama-sama menjayakan program ini.

“Marilah sama-sama kita berusaha meningkat pahala kita dengan melakukan semua amalan yang disebut oleh penceramah kita,” ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah PACE, Prof . Madya Dr. Abdul Aziz Othman bersyukur dengan komitmen semua dan percaya program sebegini dapat meningkatkan persefahaman dan memperkukuhkan kerjasama yang baik antara kedua-dua pihak.

Program ini dimeriahkan dengan kenduri yang dilakukan oleh warga PACE dan UUM LEADS. Acara gotong-royong ini menyediakan jamuan sekali gus mencerminkan kerjasama dan komitmen dalam meraikan hari bersejarah menjadikannya satu sambutan yang penuh makna.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button