Uncategorized

Mastering Mind: The Rise Of AI buka mata dan minda pelajar tentang AI

Gambar Muhammad Sazry Mazlan

SINTOK, 2 Julai 2025: Biro Latihan dan Pendidikan, Inapan Siswa (Inasis) Tradewinds telah menganjurkan program berilmu Mastering Mind: The Rise Of AI yang berlangsung menerusi platform Facebook Live anjuran Inasis Tradewinds dengan penglibatan 100 pelajar, baru-baru ini.

Program ini menampilkan dua panel jemputan istimewa iaitu Penolong Tadbir Tradewinds Plantation Berhad, Razif Abd Rahman, dan Ketua Bahagian Gerakan AI, Pengurusan Perubahan dan Strategi Kandungan Syarikat Petronas, Syaful Mohamed.

Exco Biro Informasi dan Penerbitan, Akmal Hariz Shahril berkata, program yang diadakan ini adalah bertujuan untuk membuka mata dan minda pelajar berkaitan kelebihan dan kekurangan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan sekali gus membantu pelajar menjadi lebih cekap dan mahir dengan penggunaan teknologi yang terkini untuk diterapkan dalam kehidupan.

Sepanjang program ini berlangsung, penceramah pertama iaitu Razif Abdul Rahman telah menekankan kepentingan AI dalam membentuk masa depan dunia.

Beliau berkongsi cabaran yang dihadapi oleh generasi seperti Gen Y yang masih kurang mahir dalam penggunaan AI. Justeru, pendedahan awal amat penting agar semua lapisan masyarakat tidak ketinggalan dalam era teknologi.

Menurutnya, terdapat anggaran sekitar 400 juta pengguna AI setiap minggu di seluruh dunia, dan lebih 36 juta daripadanya di Malaysia. Statistik ini jelas menunjukkan bahawa AI semakin menjadi sebahagian penting dalam kehidupan seharian.

Dalam konteks industri perladangan, beliau menyarankan agar petani mempertimbangkan kos pelaksanaan teknologi seperti sensor IoT, dron, dan perisian analitik, agar mereka dapat menyesuaikan diri dengan kehendak teknologi semasa sekali gus meningkatkan kecekapan dan hasil pertanian.

Tidak ketinggalan juga penceramah kedua, Shaful Mohamed menekankan bahawa AI harus digunakan sebagai alat sokongan dalam proses pengajaran dan pembelajaran, bukannya menggantikan sepenuhnya peranan manusia.

Beliau turut mengingatkan bahawa AI boleh menghasilkan maklumat yang tidak tepat atau berhalusinasi sekiranya tiada data yang mencukupi dalam sistem. Justeru, pengguna perlu bijak menilai dan menyemak semula maklumat yang diterima.

Walaupun begitu, jika digunakan secara berhemah dan dengan kefahaman yang betul, AI mampu meningkatkan kecekapan serta memperkaya pengalaman pembelajaran dalam kehidupan seharian.

Akhir sekali, penganjuran program Mastering Mind: The Rise Of Ai telah berjaya mewujudkan penyampaian interaktif dan bermakna yang berjaya menarik minat pelajar dan membuka ruang kepada dialog dua hala.

Program ini juga mendorong kreativiti dan inovasi kerana pelajar kini lebih terbuka untuk meneroka AI sebagai alat bantuan belajar dan bersedia menghadapi dunia pekerjaan yang semakin maju berteraskan teknologi. – Muhammad Iman Abdul Muin

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button