Education

IBS mendukung tema ‘Rapatkan Saf Teruskan Perjuangan’

Gambar Muhamad Syamsul Akmal Mohd Nasir

LANGKAWI, 9 Julai 2025: Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan Bengkel Pemerkasaan Kepimpinan dan Pemantapan Hala Tuju IBS selama tiga hari bertempat di De Baron Resort, Langkawi pada 3 hingga 5 Julai lalu.

Dekan IBS, Prof. Madya Dr. Selamah Maamor berkata, bengkel ini bertujuan memperkukuh semangat berpasukan dalam kalangan warga kerja IBS serta menyelaras hala tuju strategik pusat pengajian ini dalam jangka masa panjang.

Menurutnya, bengkel ini berjaya merapatkan semula ukhuwah antara staf IBS dan memberikan impak yang besar kepada pengukuhan semangat untuk membawa IBS kepada satu tahap yang lebih cemerlang.

Menurutnya, ada rakan staf memaklumkan bahawa aktiviti sepanjang bengkel ini telah membuatnya lupa seketika tekanan kerja di pejabat.

“IBS kini telah mencapai usia 14 tahun penubuhan, dan dalam pusingan fasa ekonomi dan perniagaan, ianya dikira telah matang.

“Justeru, IBS perlu melangkah lebih laju dan berani bagi mencipta lebih banyak kecemerlangan sebagai memenuhi amanah yang diberikan,” katanya.

Bengkel ini merangkumi dua fokus utama iaitu team building dan Kursus Kepimpinan dan Hala Tuju berdasarkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang telah ditetapkan untuk IBS.

Slot team building telah dikendalikan oleh pasukan profesional iaitu Team Titan Pro iaitu sebuah konsultan latihan bertauliah yang berpengalaman yang memfokuskan untuk mengukuhkan kerjasama sesama warga IBS

Slot team building melibatkan empat modul aktiviti, manakala sesi Kursus Kepimpinan dan Hala Tuju IBS juga melibatkan empat slot bersama penceramah jemputan khas yang memotivasikan staf agar lebih berfokus merealisasikan kecemerlangan IBS.

Warga IBS berpeluang menyumbang idea dan cadangan untuk memastikan IBS yang dinobatkan sebagai 1st Islamic Business Program Accredited by AACSB ini benar-benar dilaksanakan.

Antara penceramah jemputan khas bengkel ini ialah Ketua Pegawai Eksekutif, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof. Dato’ Dr. Mohammad Shatar Sabran, dengan Slot bertajuk “The Future of Higher Education Landscape”. Slot seterusnya diisi oleh Prof. Dr. Rushamie Zien Yusoff, Profesor Emeritus SBM UUM COB dengan tajuk ‘Institusi Pendidikan Tinggi Perlu Jadi “Powerhouse” Negara’, manakala slot terakhir bersama Prof. Dr. Nor Aziah Abd Manaf dengan tajuk “IBS Itqan Realisasi Pelan Strategik”.

Majlis Perasmian telah disempurnakan oleh Mufti Negeri Pahang yang juga merupakan mantan Dekan dan Profesor IBS, Prof. Dato’ Dr. Asmadi Mohamed Naim.

Bengkel ini telah mengumpulkan lebih 80 peratus staf IBS iaitu seramai 52 staf akademik dan pentadbiran IBS.

Sementara itu, Pengarah Bengkel, Prof. Madya Dr. Norazlina Abd Wahab selaku Timbalan Dekan Penyelidikan dab Inovasi IBS mengharapkan semoga pengisian bengkel memberi manfaat dan warga IBS terus bersemangat meneruskan perjuangan menjadikan IBS lebih cemerlang.

“Saya yakin, dengan semangat dan komitmen yang ditunjukkan oleh barisan pensyarah dan pentadbiran usai program ini akan menjadikan IBS sebuah pusat rujukan terkemuka dalam bidang tujahan yang digariskan,” katanya.

Bengkel tiga hari ini bukan sahaja berjaya memperkukuhkan semangat setiakawan dalam kalangan staf IBS, malah menjadi medan refleksi strategik yang signifikan dalam memperkemas halatuju dan peranan institusi ini dalam tempoh jangka panjang.

Sesungguhnya melalui bengkel ini warga IBS berjaya merapatkan saf dan bersemangat meneruskan perjuangan mencipta lebih banyak kecemerlangan. – Siti Rasyidah Hassan

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button