Sesi Pemantapan Silibus Syariah Gunaan ASLiM bersama Mufti Wilayah Persekutuan dan pakar akademik
Berita dan gambar Dr. Hanani Ismail
PUTRAJAYA, 4 Ogos 2025: Unit Pengajian Islam dan Falsafah (UPIF), Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP), telah menganjurkan satu Sesi Pemantapan Silibus Syariah Gunaan bagi Program Sarjana Muda Syariah Gunaan, Linguistik dan Multimedia (ASLiM).
Sesi ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk memenuhi keperluan COPPA bagi permohonan Akreditasi Sementara (PA) kepada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).
Sesi pemantapan ini telah mendapat suntikan ilmu dan pandangan berharga daripada dua tokoh utama dalam bidang Syariah, iaitu Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah Tuan Ahmad Fauwaz Ali @ Fadzil dan Profesor, Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), prof. Dr. Irwan Mohd Subri.
Perbincangan bersama tokoh-tokoh ini memberi fokus kepada pengukuhan silibus kursus-kursus Syariah Gunaan agar lebih relevan dengan keperluan industri semasa dan perkembangan pendidikan tinggi negara.
Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz menyatakan kesediaan untuk menyampaikan syarahan ilmiah secara berkala kepada pelajar ASLiM.
Perincian silibus juga dipertingkatkan dengan penambahan topik berkaitan metodologi istinbat hukum empat mazhab dan sejarah institusi fatwa di peringkat nasional serta antarabangsa.
Penyelaras Program ASLiM, Dr. Nor Hanani Ismail berkata, sesi pemantapan ini bukan sekadar menyemak kandungan silibus, malah turut menjadi medan strategik untuk menyelaras semula struktur kursus agar lebih relevan dengan keperluan semasa industri dan kehendak agensi penjaminan kualiti seperti MQA.
Menurutnya, antara penambahbaikan yang dicadangkan ialah penjenamaan semula nama beberapa kursus agar lebih mesra industri dan sesuai dengan konteks perundangan Syariah di Malaysia.
“Pihak Mufti Wilayah turut menyuarakan hasrat untuk menjalin jaringan strategik bersama universiti dan bersedia menjadi pakar rujuk kepada Program ASLiM.
“Kesediaan ini diyakini dapat memperkukuh hubungan antara institusi fatwa dan institusi pengajian tinggi dalam membentuk ekosistem pendidikan Syariah yang lebih mantap, berpaksikan ilmu turath dan keperluan semasa negara,” katanya.