JKPRS Inasis Tradewinds sertai mobiliti outbound antarabangsa ke Indonesia
Dari penanaman bakau ke seminar antarabangsa
Gambar Amirul Irfan Mohammad Zukuwwan dan Muhammad Alfian Haikal Hafidzi
MEDAN, 12 Ogos 2025: Seramai 17 ahli Jawatankuasa Pembangunan Pelajar dan Residen Siswa (JKPRS) Inapan Siswa (Inasis) Tradewinds bersama pentadbir dari Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menyertai Program Mobiliti Outbound Antarabangsa ke Pantai Mangrove (Wisata Mangrove), Indonesia, yang melibatkan aktiviti penanaman pokok bakau sebagai usaha memperkukuhkan kelestarian alam sekitar.
Program ini dijayakan dengan kolaborasi daripada dua institusi pendidikan iaitu Universitas Dharmawangsa dan SMK Negeri 1 Pantai Cermin.
Program telah dirasmikan olehRektor Universitas Dharmawangsa, Dr. H. Zamakhsyari Hasballah Thaiv dan turut dihadiri oleh pegawai pengiring dari UUM, Amiruddin Ahmad Malindo.
Antara aktiviti dijalankan sepanjang program adalah penanaman pokok bakau di kawasan pesisir pantai yang membawa mesej simbolik terhadap komitmen bersama memelihara alam sekitar.
Amiruddin Ahmad Malindo berkata, program ini bukan sekadar aktiviti lapangan, tetapi membawa nilai pendidikan, kesedaran dan kerjasama antarabangsa dalam mendepani cabaran alam sekitar.
Sementara itu, Dr. H. Zamakhsyari Hasballah Thaiv pula menzahirkan penghargaan kepada UUM atas inisiatif bersama ini dan berharap agar lebih banyak kolaborasi lestari dapat dijalankan pada masa akan datang.
Inisiatif ini juga disertai pelajar SMK Negeri 1 Pantai Cermin yang mengambil jurusan Agribisnis Perikanan Air Tawar dan pelajar Universitas Dharmawangsa dari Fakultas Perikanan yang bersama-sama delegasi UUM memberi pendedahan bermakna kepada peserta melalui aktiviti yang berteraskan kelestarian, pemuliharaan alam sekitar serta pembangunan komuniti.
Hari seterusnya, diadakan Seminar Antarabangsa: International Conference and Call for Papers yang bertemakan “Technopreneurship Towards Sustainable Future and Business” di Dewan Utama, Universitas Dharmawangsa.
Seminar ini menjadi platform penting dalam memperkukuh jalinan budaya dan kerjasama serantau dengan membincangkan cabaran kelestarian teknologi serta perniagaan masa depan oleh tokoh-tokoh akademik dari pelbagai negara nusantara.
Seminar ini dijalankan di tiga ruangan yang berasingan secara serentak kerana berfokuskan kepada tiga topik yang sangat menarik di mana sesi pertama dikendalikan oleh pensyarah UUM, Dr. Muhammad Zakir Abdullah, diikuti Dr. Aried Sumekar dari Universitas Dharmawangsa yang menyentuh topik ‘Model Technopreneurship Berbasis Inovasi: Strategis Bisnis Berlanjutan’.
Beliau menekankan aspek etika perakaunan dalam membina perniagaan berasaskan inovasi di era Industri 4.0 dan Society 5.0.
Selain itu, Dr. Bambang Hendra Siswoyo jga dari Universitas Dharmwangsa pula membawakan isu ‘Implementasi Ekonomi Biru dalam Sektor Kelautan dan Perikanan’, menggariskan potensi besar Indonesia dalam sektor tersebut dan slot terakhir disampaikan oleh Andy Satria, yang menekankan transformasi digital serta peranan generasi muda dalam memacu ekonomi kreatif serantau.
Ruangan kedua dimulakan dengan Amiruddin Ahmad Malindo yang membentangkan topik ‘Edupreneurship sebagai Strategi Baharu dalam Reformasi Pendidikan Abad ke-21’, diikuti pensyarah daripada Universiti Dharmawangsa, Dr. Henni Syafriana Nasution yang menyarankan bahawa pendidikan keusahawanan adalah penyelesaian kepada masalah besar seperti pengangguran graduan dan ketidaksesuaian antara kurikulum dengan keperluan industri, M. Fuad Zaini Siregar menyentuh ‘Kesan Dasar Sekolah Lima Hari: Mampukah Pelancongan Tempatan Bangkit Semula?’ dan Erni Suyani memperkenalkan model perniagaan edupreneurship yang lestari dan mampan.
Segmen ketiga pula disampaikan oleh Dr. Kariaman Sinaga dengan tajuk ‘Pemberdayaan Masyarakat Berbasis Kewirausahaan Sosial Dalam Mendukung Pembangunan Berkelanjutan di Indonesia’.
Tajuk ini membincangkan tentang kepentingan perniagaan untuk menyatukan tujuan perniagaan dan juga misi sosial kerana masyarakat Indonesia percaya bahawa dengan penggabungan tersebut dapat membantu masyarakat untuk mengatasi masalah kemiskinan.
Sementara itu, Presiden Inasis Tradewinds, Nur Damia Sueffea meluahkan rasa syukur kerana diberi peluang menyertai International Seminar: International Conference & Call for Papers di Universitas Dharmawangsa.
Menurutnya, seminar ini bukan sahaja menjadi medan untuk memperluaskan pengetahuan dalam bidang technopreneurship dan kelestarian pendidikan, malah turut mengukuhkan jalinan kerjasama antara mahasiswa Malaysia dan Indonesia. – Liew Ka Torng dan Muhammad Aliff Firdaus Mohd Redzuan