Education

Komuniti Peladang Malau ikuti Bengkel Pressmud dan Molasses kali kedua perkasa SDGs

Berita dan gambar Dr. Maheera Mohamad

MALAU, 18 Ogos 2025: Satu kerjasama unik antara akademik, industri dan komuniti sedang mencorak masa depan pertanian mampan di Kedah menerusi Program “From Waste to Wealth”.

Inisiatif ini dirintis oleh Dr. Maheera Mohamad dari Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui Program SULAM (Service Learning Malaysia – University for Society) yang kini memasuki fasa lebih mantap dengan penyertaan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Asun dan Central Sugar Refineries (CSR) Sdn Bhd.

Dr. Maheera berkata, kejayaan program pertama SULAM UUM menjadi pemangkin utama program kali ini.

Menurutnya, hasil penyelidikan pasukannya telah membuktikan penggunaan pressmud (sisa kilang gula) dan molasses sebagai bahan campuran organik dalam tanah mampu meningkatkan hasil pertanian sehingga 30 peratus, mengurangkan kos input ladang, serta memperbaiki struktur tanah.

“Keberkesanan ini mendorong komuniti peladang Kampung Malau secara aktif memohon program diadakan sekali lagi,” katanya.

Program terkini mempamerkan model kerjasama trisektor yang holistik di mana Dr. Maheera dan pasukan penyelidik menyediakan kepakaran saintifik dan memantau kesan jangka panjang aplikasi teknologi tersebut.

Central Sugar Refineries (CSR) memainkan peranan penting dengan menyalurkan sisa industri mereka sebagai bahan utama, berkongsi teknologi pemprosesan terkini, serta menyokong dari segi logistik dan pembiayaan, manakala PPK Asun dan komuniti peladang Malau menyediakan tapak pelaksanaan, peserta, serta berkongsi pengetahuan tradisional mereka.

“Inisiatif ini secara langsung menyumbang kepada pelbagai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG). Ia mencapai SDG 12 (Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab) melalui pengitaran semula sisa industri kepada produk bernilai.

“Program ini juga menyokong SDG 2 (Kelaparan Sifar) dengan meningkatkan produktiviti pertanian tempatan, serta SDG 17 (Perkongsian untuk Matlamat) melalui model kerjasama trisektor yang boleh dicontohi. Tambahan pula, ia menyumbang kepada SDG 6 (Air Bersih dan Sanitasi) dengan mengurangkan pencemaran dari sisa pertanian,” kata Dr. Maheera.

Sementara itu, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML), Prof. Madya Dr. Wan Nadzri Osman berkata, kerjasama ini adalah contoh terbaik bagaimana sisa industri boleh ditransformasi menjadi emas hijau.

Sementara itu, Ketua Unit Malaysia Centre of Innovation Resources in Circular Economy, STML, Prof. Ts Dr. Mohd Rizal Razalli menekankan komitmen industri terhadap ekonomi kitaran dengan menyatakan kegembiraan dapat mengubah sisa menjadi sumber pendapatan untuk peladang.

Program yang berlangsung pada 16 Ogos lalu di Inapan Desa, Kampung Manggol, Mukim Malau ini melibatkan 60 orang peladang.

Fokus utama program adalah latihan amali aplikasi pressmud dan molasses dalam aktiviti pertanian.

Inisiatif ini bukan sekadar program sekali sahaja, tetapi bibit kepada revolusi pertanian mampan yang menyeluruh. Dengan pendekatan dari atas ke bawah melalui kerjasama institusi dan bawah ke atas melalui penglibatan komuniti, program ini menjanjikan transformasi holistik sektor pertanian di Malaysia.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button