Edutourism UUM perkasa agenda pengantarabangsaan pendidikan tinggi
Gambar Pusat Hal Ehwal dan Kerjasama Antarabangsa
SINTOK, 9 September 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan Bengkel Memperkasa Edutourism di EDC-UUM bagi memperkukuh pelaksanaan program edutourism sebagai salah satu agenda utama universiti.
Bengkel yang dianjurkan oleh Pusat Hal Ehwal dan Kerjasama Antarabangsa (CIAC) itu menghimpunkan hampir 50 peserta termasuk pengurusan tertinggi universiti, pengarah pusat tanggungjawab yang berkaitan, timbalan dekan hal ehwal pelajar, serta wakil Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Penolong Naib Canselor COLGIS, Prof. Dr. Harlida Abdul yang mewakili Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) berkata, edutourism kini diangkat sebagai Program Signature KPT di bawah Fokus 4: Pengantarabangsaan Pendidikan Tinggi dalam Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia (PPTM) 2025-2035.
Katanya, UUM perlu bersedia dari aspek dasar, operasi serta pembangunan pakej berdaya saing untuk pasaran antarabangsa.
Bengkel turut menampilkan pembentangan oleh Pengarah Bahagian Pengantarabangsaan Pendidikan Tinggi (BPPT), KPT, Rosemanizam Mohamed Nalif, yang menjelaskan hala tuju edutourism di peringkat kementerian, dan Pengarah CIAC, Prof. Madya Dr. Arpah Abu Bakar yang menggariskan penjajaran dasar edutourism UUM dengan KPT.
Acara kemuncak bengkel ialah Forum Pemerkasaan Edutourism UUM: Menyusun Langkah, Menjana Impak, yang dipengerusikan oleh Dr. Arpah bersama tiga panelis iaitu Fatin Liyana Abdul Hamid (Arkitek Landskap, UUM), Dr. Afiruddin Tapa (Pengarah BSD, UUM) dan Mohd Nizar Ahmad Padzi (Timbalan Pengarah Pusat Sukan, UUM).
Forum tersebut menekankan potensi kemudahan unik UUM seperti hutan Sintok, padang golf, trek go-kart serta fasiliti sukan bertaraf antarabangsa sebagai aset utama edutourism.
Selain itu, bengkel turut diserikan dengan sesi perkongsian oleh etua Projek English Summer Camp Program dari Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML), Prof. Madya Dr. Herman Shah Anuar.
Beliau berkongsi pengalaman penganjuran program tersebut bersama Kyoto Sangyo University, Jepun, yang telah dijalankan selama tiga tahun berturut-turut sejak 2023, sekali gus membuktikan potensi besar UUM dalam melaksanakan program edutourism berimpak tinggi dan berdaya pasaran.
Melalui bengkel ini, turut dipersetujui bahawa agenda Edutourism di UUM akan digerakkan, diselaraskan, dan dibuat pelaporan secara berpusat oleh Jabatan Strategik dan Pembangunan Perniagaan (BSD) sama ada untuk pasaran tempatan mahupun antarabangsa.
Dengan kekuatan kampus Sintok serta sokongan kementerian, UUM yakin mampu muncul sebagai peneraju edutourism negara. Inisiatif ini selaras dengan agenda pengantarabangsaan KPT untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan pelancongan pendidikan di persada dunia. – Prof. Madya Dr. Norliza Katuk