SoG, UUM dan Universitas Mataram, Indonesia bekerjasama bagi Program Komuniti Anak-Anak Rohingya
Gambar Prof. Madya Dr. Mohd Na’eim Ajis dan Mega Nisfa Makhroja
SINTOK, 10 September 2025: Pusat Pengajian Kerajaan (SoG), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menerima jemputan kerjasama daripada Universitas Mataram, Indonesia untuk menganjurkan Program Komuniti yang berfokus kepada pendidikan awal anak-anak rentan.
Program ini turut mendapat sokongan daripada badan bukan kerajaan, Baitulrahmah Kedah, yang diketuai oleh Zulkifli Che Haron, yang merupakan Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), serta Pertubuhan Masyarakat Indonesia Pulau Pinang dan Universiti Sains Malaysia (USM).
Program ini diketuai oleh Prof. Madya Dr. Mohd Na’eim Ajis selaku wakil utama SoG, UUM dengan sokongan Dr. Nor Suzylah Sohaimi, manakala Universitas Mataram diketuai oleh Mega Nisfa Makhroja bersama beberapa penyelidik utama universiti tersebut serta pensyarah dari USM.
Dr. Mohd Na’eim berkata, inisiatif ini merupakan program komuniti kali kedua yang dijalankan bersama Universitas Mataram sejak 2023, sekali gus memperkukuhkan jaringan kerjasama akademik dan komuniti antara kedua-dua institusi.
Menurutnya, matlamat program ini adalah untuk menyediakan pendidikan asas kepada anak-anak Rohingya dan tanpa kerakyatan (stateless), termasuk literasi 3M (membaca, menulis, mengira), pendedahan kepada Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, serta pemahaman terhadap budaya masyarakat tempatan.
“Langkah ini bertujuan membina asas komunikasi dan integrasi sosial yang lebih baik, agar mereka tidak terpinggir dalam komuniti.
“Pendidikan asas ini dilihat bukan sebagai medium untuk mereka memperoleh kedudukan dalam struktur ekonomi tempatan, sebaliknya sebagai instrumen sosial yang membantu memahami norma dan nilai masyarakat setempat,” katanya.
Kajian UNICEF (2020) menunjukkan bahawa pendidikan awal bagi komuniti pelarian berfungsi sebagai mekanisme perlindungan sosial untuk mengurangkan diskriminasi dan marginalisasi.
Sementara laporan UNHCR (2023) menunjukkan bahawa akses pendidikan asas turut meningkatkan peluang integrasi sosial serta meluaskan keterbukaan untuk diterima masuk ke negara ketiga melalui program penempatan semula antarabangsa (resettlement). Justeru, pendidikan asas kepada anak-anak Rohingya memberi nilai tambah bukan sahaja dari sudut keharmonian sosial di Malaysia, tetapi juga sebagai persediaan mereka untuk diterima dalam komuniti antarabangsa.
Kerjasama ini dijangka memberi impak besar dalam memperluas akses pendidikan asas untuk anak-anak rentan, di samping mengukuhkan hubungan akademik, penyelidikan, dan khidmat komuniti antara UUM, Universitas Mataram dan USM. – Dr. Nor Suzylah Sohaimi