Campus

Wira Bumi SK Laka Selatan: UUM Pindah Ilmu Tukar Sisa Dapur Menjadi ‘Emas Hitam’

Berita dan gambar Siti Nurqistina Abdul Hakim

CHANGLUN, 21 Mei 2026: Seramai 50 murid Tahun 5 dari Sekolah Kebangsaan (F) Laka Selatan telah didedahkan dengan amalan kelestarian alam menerusi program kesedaran kitar semula dan penghasilan baja organik yang diadakan di dewan sekolah berkenaan, baru-baru ini.

Program pemindahan ilmu tersebut telah dikendalikan oleh Pensyarah Pusat Pengajian Kerajaan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Zainal Md Zan bersama lima pelajar seliaan latihan ilmiah yang bertindak sebagai fasilitator kumpulan.

Menerusi program tersebut, pelajar bukan sahaja diberikan ceramah interaktif, malah turut berpeluang mengikuti aktiviti amali (hands-on) menggunakan botol 10 liter. Murid-murid yang dibahagikan kepada lima kumpulan telah bekerjasama dan berjaya menghasilkan sebanyak 15 buah model mini kompos.

Prof. Madya Dr. Zainal berkata, inisiatif tersebut adalah salah satu daripada program yang berfokuskan kepada pemindahan ilmu daripada pihak universiti kepada komuniti luar, khususnya di peringkat sekolah bagi menyokong usaha pembangunan mampan.

Mengulas mengenai penggunaan botol dalam aktiviti amali tersebut, beliau menjelaskan bahawa ia bertindak sebagai model simulasi eksperimen untuk pendidikan awal, memandangkan penghasilan baja kompos yang sebenar biasanya memerlukan tong kitar semula yang jauh lebih besar.

“Penggunaan botol 10 liter jernih yang digunakan semula ini adalah sebagai model berskala kecil supaya murid-murid dapat melihat dan memantau proses penguraian sisa organik secara visual dengan lebih dekat dan jelas.

“Melalui model ini, mereka belajar teknik asas untuk menukarkan sisa dapur yang sering dibuang menjadi ‘Emas Hitam’ iaitu baja organik yang sangat kaya dengan nutrisi semula jadi,” katanya.

Sementara itu, Guru Besar SK Laka Selatan, Kamariah Kamaruddin meluahkan rasa gembira apabila program hari ini dapat dilaksanakan dengan jayanya dan memberikan impak positif kepada pelajar.

Beliau berkata, ia membantu murid mendapatkan ilmu yang jelas tentang konsep kitar semula justeru dapat menyemai perasaan cinta terhadap alam sekitar.

“Saya berharap agar projek model kompos mini ini akan diteruskan kelak ke fasa berskala penuh melalui projek kebun mini sekolah. Usaha ini adalah sangat selaras dengan pendekatan pengajaran yang menggunakan kaedah Pembelajaran Berasaskan Projek (PBL) di sekolah kami,” katanya.

Dalam pada itu, Guru Penyelaras bagi program tersebut, Nur Syazwani Khamis turut berpandangan bahawa projek seperti itu sangat relevan dengan silibus pembelajaran murid kerana memberikan ilmu praktikal berkaitan sains dan alam sekitar kepada murid yang terlibat.

Kerjasama erat antara UUM dan SK (F) Laka Selatan ini diharap dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai platform membina generasi muda yang celik alam sekitar dan proaktif dalam menjaga kelestarian bumi.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button