GOLD25 hubungkan lima pusat pengajian UUM dengan UNP, Indonesia
Gambar Nabil Zuhair Ahmad Zaidi
SINTOK, 11 Jun 2025: Program Global Opportunities for Learning and Development (GOLD2025) anjuran Pusat Pengajian Pendidikan (SOE), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mencatat sejarah sebagai antara inisiatif mobiliti inbound tidak berkredit terbesar apabila menerima kehadiran 183 pelajar dan pensyarah dari Universitas Negeri Padang (UNP), Indonesia.
Program yang berlangsung dari 4 hingga 18 Mei lalu itu melibatkan jalinan kerjasama strategik antara lima pusat pengajian utama di bawah UUM CAS iaitu Pusat Pengajian Pendidikan (SOE), Pusat Pengajian Pengkomputeran (SOC), Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial (SAPSP), Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP), serta Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan (SCIMPA). Setiap pusat pengajian memainkan peranan signifikan dalam menyusun aktiviti mobiliti yang selari dengan bidang kepakaran masing-masing.
Setiap pelajar antarabangsa dari UNP dibahagikan mengikut program akademik dan ditempatkan di pusat pengajian berkaitan untuk mengikuti siri aktiviti seperti lawatan akademik, sesi perkongsian ilmu, pembentangan pelajar, dan dialog lintas budaya bersama pensyarah serta pelajar UUM.
Dekan Pusat Pengajian Pendidikan, Prof. Madya Dr. Mohamad Khairi Othman, menyifatkan penganjuran GOLD2025 sebagai bukti komitmen UUM dalam memperluas jaringan global melalui mobiliti pendidikan rentas institusi.
Menurutnya, program ini bukan sahaja mengangkat UUM sebagai hab ilmu serantau, tetapi turut memupuk persefahaman budaya, pertukaran idea, dan jaringan akademik yang mampan antara dua negara.
Beliau turut memuji usaha bersama yang digerakkan oleh pusat pengajian UUM CAS serta peranan pelajar UUM yang bertindak sebagai fasilitator dan urus setia program sepanjang tempoh lawatan.
Sementara itu, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni SOE, merangkap Pengerusi Program, Prof. Madya Dr. Mardzelah Makhsin, menjelaskan bahawa pelaksanaan projek mega ini menguji keupayaan mahasiswa UUM dalam pengurusan acara antarabangsa yang berimpak tinggi.
“GOLD2025 adalah medan latihan insaniah, kepimpinan dan diplomasi pelajar kita. Mobiliti tidak berkredit ini turut memberikan pendedahan antarabangsa yang amat berharga kepada semua yang terlibat,” katanya.
Pengarah program, Hariswaran Linggam, yang juga wakil Majlis Perwakilan Pelajar SOE, menyatakan bahawa pelajar UNP telah mengikuti siri aktiviti padat termasuk pembentangan akademik, sesi refleksi lintas budaya, dan lawatan ke kemudahan pengajaran serta perpustakaan universiti.
“Program ini menjadi jambatan pertukaran pengetahuan yang berkesan dan memperkukuh jaringan pelajar ASEAN di bawah semangat pendidikan tanpa sempadan,” katanya.
GOLD2025 menyumbang secara langsung kepada pencapaian matlamat SDG 4 (Pendidikan Berkualiti) dan SDG 17 (Jaringan Global) melalui pendekatan mobiliti rentas institusi yang inklusif, berskala besar dan menyemai nilai perpaduan dalam konteks serantau. – Nur Fitri Allyana Zamzuri