Pensyarah IBS dedah konsep pengurusan dan perniagaan Islam kepada pelajar Jepun
Berita dan gambar Mejar Dr. Mohd Adib Abd Muin
SINTOK, 3 Mac 2025: Seramai 24 pelajar Kyoto Sangyo University (KSU), Jepun telah menerima ilmu baru apabila didedahkan dengan konsep pengurusan dan perniagaan Islam sebenar melalui kesedaran produk dan perkhidmatan halal sempena Program Musim Panas UUM-KSU 2024 yang bermula pada 15 Februari lalu hingga 9 Mac 2025.
Program kerjasama Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS) dengan Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML) dan KSU itu menampilkan Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), Mejar Dr. Mohd Adib Abd Muin selaku tenaga pengajar di FWD Takaful Training Room, IBS.
Menurutnya, pendedahan berkaitan dengan konsep dan penggunaan logo halal Malaysia telah diterima dengan baik oleh kesemua pelajar KSU tersebut dan mereka seronok mempelajari ilmu baharu berkaitan keperluan orang Islam mengutamakan produk dan perkhidmatan halal dalam kehidupan seharian.
Katanya, ada dalam kalangan mereka yang tahu bahawa perkara berkaitan dengan halal ini akan memberikan kebaikan dan faedah yang terbanyak buat sesiapa yang utamakan produk dan perkhidmatan halal.
“Menerusi slot khas ini, pelajar telah dimaklumkan oleh tenaga pengajar bahawa orang Islam wajib mencari yang halal kerana ia satu kefarduan yang ditetapkan, malah konsep halal ini tidak terhad kepada orang Islam sahaja malah orang bukan Islam juga turut mendapat kebaikan dan manfaat apabila menggunakannya. Selain memastikan ia halal, bersih, yakin dan selamat untuk digunakan.
“Walaupun mereka baru sahaja mempelajari konsep halal dalam tempoh yang sangat singkat, akan tetapi mereka sudah mampu menghasilkan lakaran logo halal Malaysia dengan baik sekali. Ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa mereka sebenarnya sangat faham, berminat dan rasa teruja untuk mendalami ilmu berkaitan halal secara serius dan mendalam,” katanya.
Di akhir slot, pelajar perlu melakarkan logo halal Malaysia untuk menguji kefahaman mereka.
Sesi ini juga melibatkan aktiviti praktikal di mana pelajar dibahagikan kepada kumpulan kecil untuk membezakan perniagaan yang mengintegrasikan prinsip halal dan konvensional. Sesi tersebut memberikan mereka peluang untuk berfikir secara kreatif dan menerapkan pengetahuan yang diperoleh dalam situasi perniagaan sebenar.
Seorang pelajar, Nosaka Tomohiro berkata, dia tidak pernah tahu bahawa konsep halal begitu luas dan penting dalam pengurusan perniagaan.
“Hal ini membuka minda saya tentang bagaimana perniagaan boleh dijalankan secara etika dan bertanggungjawab,” katanya.
Malah rakannya, Shimada Ayumi dan Takamatsu Riho berkata, “Logo Halal juga ada terdapat di negara Jepun yang dikeluarkan oleh Japan Muslim Association (JMA) di Tokyo, NPO Japan Halal Association (JHA) di Osaka, dan Nippon Asia Halal Association (NAHA) di Chibashi”.
Di samping itu, banyak persoalan yang diajukan oleh pelajar berkenaan tentang pengharaman najis mughallazah seperti anjing dan babi, pengharaman alcohol dalam minuman seperti arak dan wine dalam setiap perkara terutama melibatkan sumber makanan.
Semoga usaha yang dibuat ini memberikan faedah dan pengalaman manis buat semua yang terlibat.