General

Taklimat Pengurusan Risiko dan Persaraan UUM tingkat kesedaran staf UUM Holdings 

Gambar Muhamad Syamsul Akmal Mohd Nasir  

SINTOK, 7 April 2025: UUM Holdings dengan kerjasama Islamic Business School (IBS) dan Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB) Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan Taklimat Pengurusan Risiko dan Persaraan pada 23 dan 25 Mac lalu.

Program ini yang disokong oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Wilayah Utara berjaya menghimpunkan lebih 430 staf UUM Holdings untuk meningkatkan kesedaran mereka mengenai pengurusan kewangan, risiko, dan perancangan persaraan. 

Sesi taklimat tersebut disampaikan oleh penceramah dari KWSP dan pensyarah IBS serta SEFB UUM, yang turut memberikan pendedahan mendalam mengenai produk KWSP i-Lindung FWD Takaful dan cara mudah mengaksesnya melalui aplikasi KWSP.

Pensyarah IBS, Dr. Mohamad Yazid Isa yang merupakan salah seorang penganjur berharap agar program ini dapat memberi kesedaran yang lebih besar mengenai kepentingan pengurusan kewangan yang bijak dan perancangan persaraan yang matang.

“Kami ingin memastikan staf dapat memanfaatkan peluang yang ada untuk merancang masa depan mereka dengan lebih teratur dan selamat.

“Program ini juga memberi pendedahan tentang pengurusan kewangan yang sesuai untuk merancang masa depan yang lebih terjamin,” katanya.

Peserta, Rozila Kasim dari UUM Property & Services Sdn. Bhd. (UPSB) berkata, taklimat ini memberi pemahaman mendalam tentang perlindungan kewangan dan perancangan persaraan.

“Saya sangat berterima kasih kepada penganjur atas peluang ini,” katanya.

Selain pendedahan mengenai takaful, inisiatif ini juga berjaya mendaftarkan 70 peserta untuk produk KWSP i-Lindung FWD Takaful dan 100 peserta lagi mendaftar untuk transaksi tambahan 1 peratus potongan caruman KWSP, bertujuan memastikan staf UUM Holdings lebih bersedia secara kewangan menghadapi masa depan. 

Dengan kejayaan program ini, diharapkan lebih ramai staf UUM Holdings akan memanfaatkan pengetahuan yang diperoleh untuk menguruskan kewangan mereka dengan lebih baik dan lebih bersedia untuk menghadapi cabaran kewangan pada masa depan.

Program ini juga merupakan salah satu usaha berterusan UUM dalam memperkasakan literasi kewangan dan kesejahteraan sosial dalam kalangan kakitangannya. – Nurul Nadia Saad

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button