CTP rancakkan pembangunan Changlun
CHANGLUN, 12 Januari 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) melancarkan Projek Transformasi Changloon satu inisiatif penting yang bakal membawa Changlun ke arah pembangunan dan kemajuan yang lebih besar dan lebih bermakna.
Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, Projek Transformasi Changloon atau dikenali sebagai CTP ini merupakan hasil kerjasama strategik antara pelbagai pihak iaitu, Universiti Utara Malaysia, kerajaan, pihak berkuasa tempatan, rakan-rakan industri, masyarakat setempat dan Badan Bukan Kerajaan (NGO).
Jelasnya, projek ini didasarkan kepada empat fokus utama iaitu Transformasi Sisa, di mana pengurusan sisa yang mampan dapat memastikan Changlun menjadi bandar yang bersih dan mesra alam.
“Kedua, Transformasi Pengetahuan, dengan pendidikan dan inovasi, kita berhasrat membina masyarakat yang berdaya saing dan berfikiran ke hadapan menjadi masyarakat berilmu yang akan terzahir daripada perlakuan seharian.
“Dalam Transformasi Pelancongan pula kita akan mempromosikan keunikan budaya dan keindahan Changlun sebagai destinasi pelancongan yang unggul dengan memanfaatkan kedudukannya sebagai pintu masuk utara Malaysia,” katanya.
Melalui perpaduan dan kesejahteraan masyarakat dalam Transformasi Sosial, kita mahu membentuk komuniti yang harmoni dan saling menyokong, masyarakat penyayang dan persekitaran yang selamat.
“Projek CTP bukan sekadar rancangan di atas kertas, ia adalah gerakan perubahan yang melibatkan setiap individu di Changlun.
“Kami percaya bahawa dengan pendidikan, inovasi, dan semangat kerjasama, Changlun mampu menjadi model pembangunan mampan yang boleh dicontohi oleh kawasan lain dalam memperkasakan masyarakat Malaysia,” ujarnya.
Akuinya transformasi bukanlah tugas yang mudah kerana memerlukan masa, tenaga, komitmen dan usaha kolektif daripada semua pihak.
“Namun, saya yakin dengan komitmen kita bersama, Changlun mampu menjadi sebuah bandar yang bukan sahaja maju, tetapi juga penuh dengan jiwa dan identiti ucapnya sejurus sebelum menyempurnakan Majlis Pelancaran Projek Transformasi Changloon, di C-Mart, semalam.
Beliau menyeru seluruh masyarakat Changlun untuk bersama-sama menyahut cabaran ini.
“Jadilah sebahagian daripada perjalanan ini. Sumbangkan idea, tenaga, dan sokongan untuk merealisasikan impian ini,” tambahnya.
Pembangunan bandar yang holistik merujuk kepada pendekatan pembangunan yang seimbang dan menyeluruh, mengintegrasikan pelbagai aspek kehidupan manusia, alam sekitar, ekonomi, dan sosial dalam usaha mewujudkan bandar yang mampan, inklusif dan berdaya tahan.
UUM menerusi CeTMA selaku urusetia ‘living campus’ mewujudkan perancangan CTP bagi menjadikan komuniti Changlun memiliki minda kelas pertama melalui transformasi masyarakat berilmu, sesuai dengan lokasinya yang berdekatan dengan UUM, sebuah gedung adakemik yang tersenarai dalam ranking utama pendidikan di peringkat dunia.
CTP adalah usaha UUM untuk merancakkan pembangunan Changlun melalui penyediaan infra, struktur asas dan kemudahan sosial, pembangunan sosioekonomi dan peningkatan kualiti hidup, serta penjanaan pendapatan dan mencipta peluang pekerjaan.
Majlis turut menyaksikan sesi penyampaian surat lantikan Ketua Sukarelawan CTP dan Sijil Rakan Kolaborasi CTP.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif, E-Idaman Sdn. Bhd., Zaki Abdul Aziz M.H. Daud, Ketua Pegawai Eksekutif, Oriental Interest Berhad (OIB) Low Kok Shen, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), UUM, Prof. Dr. Russayani Ismail, Pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab.