Wakil Kedah raih tempat ketiga kejohanan badminton MAKSAK Kebangsaan 2026
Berita dan gambar oleh: Mohd. Puad Mhd. Nor dan Fairul Haizal Ramli
KOTA BHARU, 21 Jun 2026: Pasukan badminton Kedah berjaya meraih tempat ketiga dalam Kejohanan Badminton MAKSAK Kebangsaan 2026 yang berlangsung dari 18 hingga 21 Jun di Dewan Badminton Negeri Kelantan, Kota Bharu.
Pasukan Kedah diwakili oleh Mohd. Puad Mhd. Nor dari Jabatan Pembangunan dan Penyelenggaraan Infrastruktur (JPPI) serta Fairul Haizal Ramli dari Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA), Universiti Utara Malaysia (UUM).

Mereka mempamerkan aksi cemerlang sepanjang kejohanan dengan menewaskan beberapa pasangan lawan untuk melayakkan diri ke peringkat separuh akhir.
Bagaimanapun, cabaran wakil Kedah terhenti di peringkat separuh akhir apabila tewas kepada pasukan Kuala Lumpur yang kemudiannya mara ke perlawanan akhir.
Walaupun tidak berjaya melangkah ke pentas final, pencapaian meraih tempat ketiga di peringkat kebangsaan merupakan satu kejayaan yang membanggakan buat kontinjen Kedah.
Kejayaan ini membuktikan komitmen, semangat juang serta prestasi konsisten yang dipamerkan oleh kedua-dua pemain sepanjang kejohanan.

Fairul Haizal atau lebih mesra dikenali sebagai Yun berkata, kejayaan tersebut merupakan hasil kerjasama erat, latihan berterusan dan semangat berpasukan yang tinggi sepanjang kejohanan berlangsung.
“Alhamdulillah, kami bersyukur kerana berjaya menamatkan kejohanan di tempat ketiga. Walaupun sasaran awal adalah untuk mara ke perlawanan akhir, kami tetap berbangga dengan pencapaian ini kerana persaingan yang dihadapi amat sengit dan melibatkan pemain-pemain terbaik dari seluruh negara.
“Pencapaian ini bukan sahaja hasil usaha kami di gelanggang, malah turut didorong oleh sokongan dan kepercayaan yang diberikan oleh pelbagai pihak. Saya berharap kejayaan ini dapat menjadi motivasi kepada warga MAKSAK Kedah untuk terus aktif dalam sukan dan berusaha mencapai prestasi yang lebih cemerlang pada masa hadapan,” katanya.
Para pemain turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih kepada Universiti Utara Malaysia (UUM) atas sokongan padu, kepercayaan serta galakan yang diberikan sehingga membolehkan mereka menyertai dan bersaing dalam Kejohanan Badminton MAKSAK Kebangsaan 2026.

Mereka berharap kejayaan yang diraih ini dapat menjadi inspirasi kepada warga universiti untuk terus aktif dalam bidang sukan, di samping menyumbang kepada kecemerlangan dan pengharuman nama UUM di peringkat kebangsaan serta antarabangsa.
Pencapaian tersebut diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada atlet-atlet MAKSAK Kedah untuk terus meningkatkan prestasi serta mengharumkan nama negeri dalam pelbagai kejohanan pada masa akan datang.
Kejayaan ini juga membuktikan bahawa warga UUM bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik dan profesional, malah mampu bersaing serta mencapai kecemerlangan dalam arena sukan di peringkat kebangsaan.



