General

Seminar Kependudukan Negeri Kedah platform tukar idea dan hasilkan cadangan dasar mampan

Gambar Mohd Fuad Hamid

SINTOK, 31 Julai 2025: Seminar Kependudukan Negeri Kedah menjadi medan pertukaran idea yang bermakna dan menghasilkan cadangan dasar yang mampan bagi memastikan Malaysia terus berkembang maju walaupun berdepan cabaran penduduk yang semakin mencabar.

Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Dato’ Abdul Shukur Abdullah berkata, program ini bukan sekadar satu majlis, tetapi sebaliknya untuk menyemai pemikiran, melihat masa depan negara melalui lensa data, dasar dan berpaksikan rakyat.

Menurutnya, seperti sedia maklum bahawa 11 Julai setiap tahun merupakan Hari Penduduk Sedunia dan sambutan tahun ini mengetengahkan tema ‘Memperkasakan Golongan Muda Untuk Membentuk Keluarga Yang Mereka Inginkan Dalam Dunia Yang Adil dan Penuh Cabaran’.

Katanya, Seminar Kependudukan Negeri Kedah mengetengahkan tema ‘Perubahan Demografi Penduduk: Impak, Cabaran dan Peluang Kepada Negeri Kedah’ berdasarkan penemuan Kajian Semula Dasar Kependudukan di mana tujuh cabaran utama dikenal pasti dan dua daripada cabaran itu adalah penurunan kadar kesuburan yang pesat mempercepatkan proses penuaan negara dan intervensi untuk menghentikan penurunan kadar kesuburan perlu dilakukan.

“Realiti demografi hari ini bukan lagi isu akan datang, malah ia adalah krisis semasa yang menuntut respons bersifat nasional. Kadar kesuburan menurun ke paras paling rendah dalam sejarah negara dan struktur penduduk berubah pantas ke arah negara menua.

“Jika dahulu cabaran negara adalah untuk membangunkan kapasiti penduduk muda, hari ini kita berdepan dengan cabaran penduduk yang semakin menua dan berkurang. Kedah antara negeri yang menunjukkan penurunan dalam Kadar Kesuburan Jumlah (TFR) yang mencapai kadar 2.0 pada 2023, selain mencatat penurunan sebanyak 4.0 peratus bagi bilangan kelahiran hidup sebanyak 33,811 pada 2023 berbanding 35,032 kelahiran pada 2013,” katanya dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), LPPKN, Hairil Fadzly Md. Akir pada Sambutan Hari Penduduk Sedunia 2025 di Auditorium Pusat Pengajian Antarabangsa (SOIS), hari ini.

Abdul Shukur berkata, trend penurunan kadar kelahiran yang semakin ketara di negeri Kedah mencerminkan keperluan mendesak untuk merangka dan melaksanakan dasar yang menyokong keluarga muda, termasuk inisiatif yang dapat meringankan kos hidup, meningkatkan akses kepada penjagaan anak yang berkualiti dan menyediakan persekitaran kerja yang mesra keluarga agar pasangan muda lebih bersedia dan yakin untuk membina keluarga.

Sempena sambutan Hari Penduduk Sedunia hari ini, sesi pembentangan kertas kerja dan forum kependudukan yang membincangkan kesan dan impak serta persediaan menangani isu penurunan kadar kesuburan telah diadakan awal pagi tadi.

Beliau yakin perkongsian oleh pembentang kertas kerja dan ahli panel jemputan forum yang berpengalaman boleh dijadikan input utama bagi penggubalan dasar dan pembangunan program intervensi bersesuaian berkaitan kependudukan, kekeluargaan dan kesihatan produktif.

Sementara itu, Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, tema seminar ‘Celik Data, Peduli Penduduk’ bertepatan dengan cabaran masa kini yang merujuk kepada keupayaan memahami, menilai dan menggunakan data secara berkesan dalam membuat keputusan yang mempengaruhi kehidupan rakyat serta keprihatinan yang mendalam terhadap dinamika masyarakat dari isu penuaan, kesuburan, migrasi, hinggalah kepada ketidakseimbangan pembangunan antara bandar dan luar bandar.

Menurutnya, seminar ini menjadi jambatan antara penyelidikan akademik dan pelaksanaan dasar yang membuka ruang dialog antara ahli akademik, agensi pelaksana, pembuat dasar dan masyarakat umum.

Katanya, keterlibatan universiti dalam seminar ini bukan sekadar simbolik, tetapi merupakan manifestasi komitmen terhadap pembangunan sosial berasaskan nilai dan ilmu.

“Semoga segala dapatan daripada seminar ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh semua pihak yang berkepentingan dalam usaha memperkasa pembangunan masyarakat yang inklusif dan sejahtera di negeri Kedah,” katanya dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Penolong Naib Canselor UUM CAS, Prof. Dr. Osman Ghazali.

Turut diadakan penyampaian Sijil Penghargaan kepada pembentang kertas kerja dan lawatan ke rerurai pameran.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button