Bingkisan Aidilfitri Naib Canselor, santuni staf dengan kasih dan doa
Gambar Mohd Fuad Hamid
AYER HITAM, 27 Mac 2025: Dalam kehangatan Ramadan yang penuh keberkatan, Universiti Utara Malaysia (UUM) terus menyemarakkan nilai kasih sayang dan kebersamaan dengan menyantuni staf serta keluarga mereka.
Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan yang turun padang hari ini menyampaikan Bingkisan Aidilfitri sebagai tanda keprihatinan universiti terhadap kesejahteraan warganya.
Dalam suasana penuh rasa syukur dan ketulusan, beliau melawat staf serta pesara yang sedang diuji dengan kesihatan yang kurang memuaskan, termasuk Zulkiffli Mustafa, pesara yang menghidap gout kronik; Prof. Madya Dr. Kamal Imran Mohd Sharif, pensyarah STML yang mengalami masalah jantung; dan Abdul Wahab Awang, pesara yang isterinya, Che Gayah Hamid menghidap strok. Turut disantuni ialah Wan Azlina Wan Hasan, balu kepada pensyarah IBS, Allahyarham Shamsul Naim Abdul Rais, serta Mohd Nasir Din, pengawal keselamatan yang anaknya, Mohammad Naufal, menghidap penyakit buah pinggang.
Dr. Mohd Foad berkata, kunjungan ini bukan sekadar menyampaikan bantuan, tetapi juga sebagai tanda solidariti dan doa agar mereka terus tabah menghadapi ujian hidup.
“Kita mahu mereka tahu bahawa mereka tidak keseorangan. Universiti menghargai jasa dan sumbangan mereka, dan doa kami sentiasa mengiringi agar mereka dikurniakan kesembuhan dan kekuatan,” katanya.
Bagi penerima bingkisan, kunjungan ini membawa sinar kegembiraan. Zulkiffli Mustafa, yang dijaga isterinya, Noraimah Abd Razak di Alor Biak, meluahkan rasa terharu atas kesudian Naib Canselor melawatnya.
“Terima kasih atas keprihatinan universiti. Kehadiran Naib Canselor sendiri memberi semangat kepada saya untuk terus kuat,” katanya.
Sementara itu, Dr. Kamal Imran yang kini dalam proses pemulihan di Taman Mawar, Jitra, turut menghargai sokongan yang diberikan.
“Saya berterima kasih atas kunjungan ini dan berdoa agar dapat kembali bertugas selepas Aidilfitri nanti,” katanya.
Bagi Mohd Nasir pula, dia mengucapkan terima kasih kepada UUM kerana sanggup menyewakan mesin dialisis untuk kegunaan anaknya dan dia juga terharu kerana Naib Canselor hadir menyampaikan sumbangan sempena menyambut kedatangan Syawal ini.
Turut hadir dalam lawatan ini ialah Pengarah Pusat Islam yang juga Ketua Unit Kebajikan Jabatan Sumber Manusia, Mohd Yusnaidi Md Sabri, yang bersama-sama menjayakan misi menyantuni warga UUM dengan kasih dan doa.
Melangkah ke Syawal, UUM bukan sahaja menyambut lebaran dengan kegembiraan tetapi juga dengan semangat persaudaraan, memastikan tiada yang terpinggir dalam nikmat kemanusiaan dan kebersamaan.