General

UUM dan Majlis Daerah Sik teruskan usaha memartabatkan pelancongan komuniti

Berita dan gambar Siti Rokiah Ibrahim

SIK, 13 Ogos 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memperkukuhkan kerjasama strategik dengan Majlis Daerah Sik (MDS) dalam usaha memartabatkan sektor pelancongan komuniti di daerah ini melalui sesi perbincangan dan lawatan lapangan yang diadakan baru-baru ini.

Pertemuan yang berlangsung di bilik mesyuarat Majlis Daerah Sik bersama Setiausaha Majlis Daerah Sik, Mohd Akmal Azimi, dan ahli mesyuarat yang terdiri daripada Ketua Jabatan dan Ketua Unit Majlis Daerah Sik menfokuskan kepada maklum balas peserta Bengkel Pemandu Pelancong Setempat Siri 1 dan Siri 2, di samping perbincangan mengenai peranan dan tindakan selanjutnya oleh kedua-dua pihak MDS dan pasukan penyelidik UUM.

Dalam sesi ini juga pihak MDS turut menyampaikan sijil penghargaan kepada semua pasukan penyelidik yang terlibat.

Sebagai kesinambungan perbincangan, pasukan penyelidik yang terdiri daripada Dr. Salmah Omar dari Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP), Dr. Nor Hanani Ismail dari SLCP, Prof. Madya Dr. Zawiyah Mohd Zain dari Pusat Pengajian Kerajaan (SOG), Dr. Muna Maryam Azmy dari Pusat Pengajian Pengurusan Pelancongan, Hospitaliti dan Acara (STHEM), Siti Rokiah Ibrahim selaku pembantu penyelidik dari SLCP serta dibantu oleh Muhammad Anas Anaqi Mahali, pelajar Sarjana Muda Sejarah Gunaan dengan Kepujian dari SLCP bersama pegawai MDS telah mengadakan sesi pemerhatian dan kajian lapangan ke beberapa lokasi pelancongan dan pengusaha produk tempatan.

Antaranya, Kraftangan dan Anyaman; Kalsom Yahya di Kampung Melaka, Sik; Produk Ikan Pekasam Delisika oleh usahawan di bawah bimbingan RISDA, Maznah Lateh (Kak Nah Pekasam) di KEDA Kota Aur, Sik dan Sri Lovely Organic Farm di bawah pengurusan Kapten Zakaria Kamantasha di Kg Lentang, Belantik.

Selain itu, Dr. Salmah berkata, rombongan turut membuat lawatan ke destinasi pelancongan di sekitar Pekan Sik, seperti bekas tapak kem British, kediaman Profesor Emeritus Dato’ Dr. Shahnon Ahmad (Tokoh Sasterawan Negara),  Rumah Tradisional yang terletak di Kg Banggol Derdap, Sik yang menampilkan seni bina rumah Melayu tradisional sebagai warisan budaya yang perlu dipelihara, Sekolah Kebangsaan Seri Dusun iaitu Sekolah Inggeris Pertama di Sik, seterusnya ke Wat Charok Padang juga dikenali dengan nama Wat Botol yang  menampilkan keunikan binaan yang dihiasi dengan lebih 100,000 botol kaca berwarna hijau dan coklat.

Menurutnya, lawatan ini bertujuan mendapatkan gambaran menyeluruh mengenai potensi produk dan destinasi pelancongan tempatan, tahap daya tarikan serta keperluan sokongan bagi memastikan ia dapat dimasukkan secara efektif dalam modul latihan pemandu pelancong setempat.

“Lawatan lapangan ini juga memberi peluang kepada penyelidik untuk memahami secara lebih dekat realiti dan keperluan industri pelancongan setempat di Sik,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa kerjasama erat antara UUM dan MDS akan terus diperkukuh bagi memastikan pembangunan pelancongan komuniti dapat menyumbang kepada peningkatan sosioekonomi penduduk setempat secara mampan.

Dengan kesinambungan projek ini, UUM berharap modul yang dibangunkan akan menjadi rujukan penting dan panduan praktikal untuk komuniti setempat sekali gus memperkukuh imej Sik sebagai destinasi pelancongan berasaskan warisan, alam semula jadi dan keunikan produk tempatan.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button